Saturday, August 16, 2008

Mengapa Mesti Assabiyah Wahai Teman-Teman..

Kebangkitan mahasiswa? satu perkara yang gah dan sering kali dinantikan sesiapa sahaja yang terbuka kotak mindanya terhadap kemashlahatan bangsa dan ummahnya. Namun demi apakah tujuannya kebangkitan itu? adakah semata-mata demi agamamu atau demi bangsa mu. Jika ianya adalah demi agamamu Islam ia adalah sesuatu yang mesti, namun jika ianya berpaksikan bangsa, usah lah wahai teman-teman. Usah lah anda berkobar- kobar mempertahankan bangsa mu melewati semangatmu menyelamatkan agamamu. Ingatlah wahai temanku di UITM, sudah dan hantikanlah semua ini. Tidak lah saya menulis ini karena saya adalah seorang yang bergelar golongan yang melupakan akar dan asal usul saya sebagai seorang melayu. Ianaya adalah tidak sama sekali.

Mengapa dakyah yang berteraskan bangsa ini sering kali dirakyatkan di menara gading mu?
Mengapakah dakyah dan syiar Islam mendapat layanan yang sebalik dan seburuknya? Adakah bangsamu ini adalah salah satu jaminan bagimu pabila kamu menghadap Allah kelak? Mengapa begitu berkobar keringat gagah muda mu pabila kedengaran di telinga mu mengenai cadangan membuka keahlian UITM pada kaum bukan bumiputra? Mengapa pula tidak terketuk pintu semangatmu untuk turun dijalan mentang kezaliman dan kebusukan tindakan sang penguasa pada rakyatnya, baik di Malaysia mahupun di seantero dan pelosok dunia.Mengapa?
Ingatlah wahai teman-teman sesungguhnya bangsa Arab dahulu kala menharungi zaman jahilnya adalah kerana semangat assabiyah dalam kalangan mereka. Semangat mementingkan bangsa dan puak itulah yang melayakkan mereka digelar masyarakat jahiliyah. Tidakkah kalian sedar bahawa kalian semua sedang dan memacu kearah itu. Kearah bangsa yang memntingkan kepentingan bangsanya sahaja. Kita Malaysia adalah sebuah negara yang bukannya dimiliki oleh melayu sahaja, Cina, India dan lain-lain juga menyayangi dan rela berkorban demi tanah tumpah darah mereka ini,
Cubalah kalian fikir sedalamnya, sampai bilakah kalian harus terus dimanjakan dengan syarat kemasukan yang rendah, peluang yang banyak dan melimpah banyaknya di dalam UITM. Sampai bila? Sampai bilakah kalian tidak mahu menerima persaingan dari bangsa lain demi untuk membangunkan bangsa mu sendiri wahai teman. Sesungguhnya tidakkah kalian semua akan lebih bekerja keras selepas ini sekiranya bukan bumi menyertai kalian demi untuk memartabatkan lagi bangsa kalian, sudah pasti kalian tidak mahu melayu tewas bukan?Justeru dengan cara ini, semangat bersaing kalian akan mendadak dan sekaligus menjunjung martabat bangsa.Bukannya ada apa sangat lah dengan cadangan Menteri Besar Selangor, cuma membuka 10 peratus sahaja kepada golongan bukan bumiputra yang juga rakyat malaysia, rakyat yang menyanyikan lagu kebangsaan yang sama, rakyat yang berkongsi rukun negara yang sama. Masih ada lagi 90 peratus lagi untuk kalian, adakah itu tidak mencukupi?
Pengurangan yang dilakukan sebanyak 10 peratus tersebut juga akan sekaligus meningkat keringat menuntut ilmu dalam kalangan bangsaku, Melayu demi untuk melayakkan kaki mereka di menara gading. Tidakkah ini mengusung perubahan dalam benak dan ideologi melayu terhadap peluang dan cara untuk merampas dan menggarapnya.
Para mahasiswa dan mahasiswi adalah golongan intelek yang dikurniakan oleh Allah otak yang cerdas dan sihat sepatutnya lebih bijaksana di dalam memilih bentuk perjuangan yang sebenar. Mengapakah pemikiran mereka perlu disempitkan dengan perjuangan assobiyyah? Mereka seharusnya membebaskan belenggu-belenggu pemikiran kufur assobiyyah ini agar dapat berfikir dengan lebih matang. Jika tidak, mereka akan mudah diperalatkan oleh pihak tertentu. Nasib ‘bangsa’ Melayu bukanlah satu perkara yang patut diperjuangkan, malah haram, dan haramnya teramat jelas dan ia adalah assobiyyah yang sangat-sangat dibenci oleh Rasulullah. Dengan akal yang cerdas dan sihat itulah, mereka sepatutnya meninggalkan assobiyyah dan mengambil Islam, sebagai satu-satunya wadah perjuangan. Mereka perlu ingat bahawa mereka pasti akan dihisab oleh Allah atas setiap langkah assobiyah atau langkah Islam yang mereka ambil. Pilihan di tangan mereka. Perjuangan assobiyyah telah lama menghancurkan dan menyekat kesatuan umat Islam. Disebabkan itulah ia mendapat larangan yang tegas daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assobiyyah, berperang kerana assobiyyah dan mati kerana assobiyyah” [HR Abu Dawud]

Memperjuangkan assobiyyah Melayu yang haram ini tidak akan menjadikan bangsa Melayu lebih baik, malah akan terperosok nun lebih jauh ke dalam jurang kejahilan dan kemusnahan yang amat dahsyat.

Wahai teman-temanku semua!

Ingatlah akan ayat-ayat Allah, ketika mana kaum Muslimin dahulu dihasut syaithan dan sedikit tergelincir ke jurang assabiyyah, maka Allah swt terus menurunkan ayatNya,

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu berpetunjuk.” [TMQ Ali Imran (3):102-103]

Justeru, janganlah hendaknya teman-temanku semua tergelincir dengan hasutan syaithan, baik itu syaithan dari kalangan jin mahupun syaithan dari kalangan manusia yang senantiasa berusaha menyesatkan kalian dari jalan yang lurus. Berjuanglah untuk Islam, jangan berjuang untuk bangsa! Hanya dengan perjuangan kepada Islam sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari jurang neraka. Na’uzubillah min zalik.

0 comments: